churp2

Ahad, 7 Oktober 2012

Petua mencantikkan kuku

Kecantikan merupakan idaman setiap manusia baik kaum hawa mahupun kaum adam. Kecantikan tidak terhad kepada memiliki aset seperti wajah yang mempesona, malahan aspek kebersihan dan rapi termasuk anggota seperti kuku tidak dipandang enteng.

Disebabkan inginkan kesempurnaan daripada hujung rambut ke hujung kaki, justeru ramai dalam kalangan anggota masyarakat sanggup menghabiskan banyak wang ringgit semata-mata ingin kelihatan cantik.
Masyarakat pada zaman dahulu menjaga kecantikan dengan hanya menggunakan bahan yang terdapat di dapur atau sekeliling rumah sahaja seperti limau nipis dan bawang.

Namun pada post kali ini, saya akan kongsikan kepada anda semua petua untuk mengilatkan kuku dengan mudah, murah dan yang paling penting, berkesan.



Hanya dengan meggunakan ubat gigi, kuku akan kelihatan berkilat dan bersih. Caranya adalah dengan meletakkan sedikit ubat gigi pada berus gigi lama dan kemudian berus pada kuku seperti memberus gigi. Hasilnya boleh dilihat dalam masa yang singkat. Hanya amalkan beberapa kali semasa atau sebelum mandi, kuku anda pastinya akan berkilat dan cantik.

Petua mencantikkan kuku yang lain pula adalah dengan menggunakan bawang putih dan limau. Bagi petua bawang putih, kupas bawang putih. Kemudian, potong dan gosokkan bawang putih yang telah dibelah pada kuku. Selain mencantikkan kuku, bawang putih berfungsi menguatkan struktur kuku. Hasilnya, kuku tidak mudah pecah, patah dan akan kelihatan cantik.

Bagi yang rajin memasak atau bercucuk tanam, pasti sering mengalami masalah kuku yang kotor, kelihatan kekuningan atau kehitaman disebabkan getah tumbuhan ataupun benda asing lain. Sudah tentu penampilan anda akan sedikit jatuh kerana masalah tersebut. Usah risau, kerana setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Caranya, ambil limau nipis atau kasturi. Kemudian belah kepada dua bahagian. Gosokkan kuku anda yang kelihatan kotor pada limau yang telah dibelah.


Terima kasih kerana sudi meluangkan membaca tulisan saya. Saya harap anda mendapat manfaat daripada artikel ini.

*Kredit kepada Tuan punya gambar yang saya ambil daripada Mr. GOOGLE